Dua Sindiket Edar Dadah Tumpas
Dua
sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergerak aktif di daerah ini
lumpuh dengan tertangkapnya enam suspek bersama bahan terlarang
keseluruhannya bernilai RM450.000.
Ketua
Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejayaan itu
dicapai menerusi dua serbuan yang dilakukan di Kampung Parit Bulat dan
Kampung Parit Raja di sini kelmarin dan Selasa lalu.
Beliau
berkata, dalam serbuan di Kampung Parit Bulat pada pukul 1 petang
kelmarin, lima lelaki berusia antara 16 hingga 40 tahun ditahan termasuk
seorang warga Indonesia.
"Dalam
serbuan itu, seorang pelajar yang berusia 16 tahun turut ditahan semasa
berurusan untuk membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini semalam.
Tambah
Azman, polis juga merampas tiga bungkus heroin seberat 630.7 gram, dua
bungkus syabu 6.85 gram bernilai RM325,000 dan satu laras senapang angin
berukuran 87 sentimeter panjang.
Turut
dirampas, katanya, satu alat penimbang digital yang percayai digunakan
untuk aktiviti menjual dadah, wang tunai RM565 dan tiga beg pinggang.
Katanya,
polis masih menyiasat sama ada mereka terlibat dengan kegiatan jenayah
lain dan kelima-limanya direman sehingga 20 Mac ini untuk siasatan
lanjut.
Sementara
itu, kata beliau, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Parit Raja
di sini pukul 5.45 petang Selasa lalu, seorang lelaki 42 tahun ditahan
bersama heroin seberat 225.29 gram serta syabu sebanyak 1.53 gram
bernilai RM125,000.
Jelasnya,
suspek terbabit direman sehingga 11 Mac ini dan kedua-dua kes dadah
tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : Kosmo