Dua Sindiket Dadah Antara Terbesar Di Kelantan Tumpas
Kota Baharu, 16 Julai- Polis Kelantan menumpaskan dua sindiket dadah,
antara yang terbesar di negeri ini, dengan tertangkapnya lapan lelaki
termasuk seorang pelajar dalam tiga serbuan di Tanah Merah dan Gua
Musang, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 235 biji pil jenis
Eramin 5, 50 botol heroin, 37 biji pil kuda dan satu tiub straw
mengandungi serbuk pil sama, dua paket syabu serta dua tiub straw berisi
dadah sama.
"Dadah
tersebut dianggarkan bernilai RM155,200 dan kita turut menyita wang
tunai berjumlah RM52,000 serta empat kereta dan sebuah motosikal
bernilai RM128,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas sepucuk senjata api jenis Revolver .38 mengandungi dua butir peluru.
Polis
juga menahan lapan lelaki berumur antara 19 dan 37 tahun termasuk
seorang pelajar berusia 17 tahun dalam ketiga-tiga serbuan itu bagi
membantu siasatan, katanya.
Jalaluddin berkata kesemua suspek itu direman antara empat dan tujuh hari bermula semalam.
Katanya
dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Desa Melati, Kampung
Kubang Gali, Tanah Merah, 8.30 malam Ahad lepas, polis menahan empat
lelaki berumur 24 hingga 37 tahun, masing-masing dua dari Terengganu,
seorang dari Negeri Sembilan dan seorang dari negeri ini.
"Lelaki
berusia 37 tahun yang berasal dari Gemenchih, Negeri Sembilan disyaki
bertindak sebagai dalang utama dalam sindiket 'Yo' ini dan pernah
bergerak aktif di Terengganu.
"Lelaki
tersebut turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau, pernah dibuang daerah
pada 2010 dan menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan
dibenarkan keluar pada tahun lepas," katanya.
Jalaluddin berkata sindiket 'Yo' bergiat aktif di Tanah Merah pada tahun lepas setelah suspek utama keluar dari pusat pemulihan itu dan merekrut beberapa anggota baharu.
"Ekoran
daripada kes pertama, polis Kelantan membuat tindakan susulan pada
keesokannya. Dalam serbuan kira-kira 5.10 petang itu, kami menangkap
seorang lelaki berusia 19 tahun, berasal dari Kusial, Tanah Merah, dan
merampas beberapa jenis dadah bernilai RM152,000 dan sebuah motosikal,"
katanya.
Bagi
kes ketiga pula, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah
Gua Musang menahan dua lelaki berasal dari Pahang dan seorang Kelantan
selepas menyerbu kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Renoh Baharu,
Gua Musang.
"Hasil
pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik berisi ketulan kristal
disyaki dadah jenis syabu, satu tiub straw dipercayai syabu dan satu
biji pil dipercayai pil kuda.
"Turut dirampas sepucuk senjata api dan dua butir peluru, saringan awal medapati dua suspek tersebut positif dadah," katanya.
Sumber : BERNAMA