Dua Remaja Pecah Mesin Atm Usm Diberkas
George Town, 16 Julai - Polis hari ini menahan dua remaja lelaki berusia
14 dan 19 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes cuba memecah mesin
teller automatik (ATM) dan mesin vendor minuman di kampus Universiti
Sains Malaysia (USM) di sini semalam.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kedua-dua remaja terbabit ditahan oleh pengawal keselamatan USM selepas mereka didapati sekali lagi cuba memecah mesin ATM di kampus itu pada pukul 4.55 pagi tadi.
"Polis
percaya kejadian ini dilakukan oleh sekumpulan lelaki dan kita sedang
memburu tiga lagi suspek. Kedua-dua suspek ini adalah orang luar dan
saya percaya kejadian ini dilakukan oleh orang yang tidak profesional.
"Cubaan
mereka semalam dan awal pagi ini turut gagal... jelas sekali yang
mereka ini tidak profesional. Mereka hanya cuba mengambil kesempatan
untuk memecah mesin ATM itu," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Lokap Berpusat Bayan Baru dekat sini hari ini.
Pada
perkembangan lain, Abdul Rahim berkata polis juga telah menahan seorang
lelaki berumur 24 tahun bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak
berusia empat tahun yang cedera akibat terkena tembakan di Perkarangan
Golf View Bukit Jambul, dekat sini dua hari lepas.
Katanya, bagaimanapun polis belum dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai tangkapan itu.
"Polis
masih meneruskan siasatan berhubung kes itu dan kanak-kanak itu masih
menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.
Pada
kejadian Khamis lepas seorang lelaki melepaskan sekurang-kurangnya 10
das tembakan dari jarak lima hingga 10 meter dan satu daripadanya
menembusi bahagian lutut kiri kanak-kanak yang dikenali sebagai B.Shawn
Yashwin.
Sumber : BERNAMA