Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Remaja Ditahan Ragut Beg Tangan Wanita

Published: 08 Sep 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Chang Keong berkata seorang daripada remaja itu bertindak meragut beg mangsa yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM510.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-remaja-ditahan-ragut-beg-tangan-wanita
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 05:05 MYT

Ipoh, 8 Sept - Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai meragut beg tangan seorang wanita di kawasan perumahan Buntong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata remaja berumur 16 dan 18 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang semalam, di kawasan perumahan tersebut selepas mangsa membuat laporan polis.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi semalam, ketika mangsa yang menunggang motosikal sendirian diekori dua remaja terbabit yang juga menaiki motosikal.

Chang Keong berkata seorang daripada remaja itu bertindak meragut beg mangsa yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM510.

"Polis menerima aduan daripada mangsa berusia 37 tahun itu dan berjaya menahan kedua-dua remaja berkenaan di kawasan taman perumahan tersebut," katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui semula sebahagian daripada barangan yang diragut kedua-dua remaja terbabit.

"Kedua-dua remaja yang tidak bersekolah itu ditahan reman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Chang Keong menasihatkan pemilik kedai runcit yang menjalankan perniagaan 24 jam supaya meningkatkan ciri keselamatan bagi mengelak kedai mereka disamun.

Beliau mencadangkan kedai berkenaan mewujudkan satu kaunter bertingkap seperti di kebanyakan stesen minyak untuk urusan pada waktu tengah malam dan pelanggan juga perlu menanggalkan topi keledar ketika masuk ke kedai.

Katanya, sepanjang lapan bulan lepas sebanyak enam kes samun membabitkan kedai 24 jam dilaporkan dan setakat ini hanya seorang suspek dapat diberkas.

- BERNAMA


ArticlePublished 08 Sep 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM