Dua Penjenayah Diberkas Polis
BESUT, Terengganu - 1 November 2009 - Selepas mengejar sejauh 15 kilometer, dua lelaki yang dipercayai menaiki sebuah lori curi akhirnya diberkas polis di Kampung Derdap, Gaal di Pasir Puteh, Kelantan semalam.
Namun untuk menahan kedua- dua mereka itu bukannya mudah, sebaliknya salah seorang daripada anggota polis cedera di tangan kiri setelah diserang dengan parang ketika bergelut dengan penjenayah itu. Dalam kejadian itu juga, seorang daripada penjenayah terbabit cedera ditembak di bahu ketika bergelut dengan polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, anggotanya yang sedang meronda di Kampung Padang Luas, Jerteh terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, setelah diekori, kenderaan suspek yang dinaiki dua lelaki itu terus memasuki sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Bukit Yong dan kemudian menghala ke Kampung Wakaf Raja. Anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut itu kemudian menghubungi IPD Pasir Puteh bagi meminta bantuan.
Bagaimanapun, menurut Kamaruddin, lori itu kemudian tersangkut pada sebuah pembetung di Kampung Derdap.
''Polis
kemudian mengarahkan kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 35 tahun
supaya menyerah diri namun mereka bertindak menyerang polis menggunakan
parang.
''Sewaktu berlaku pergelutan, salah seorang anggota dari IPD Besut, Mohd. Rizal Anuar, 35, cedera di tangan kirinya setelah ditetak oleh suspek.
''Polis terpaksa menembak suspek berusia 35 tahun itu yang juga pemandu lori berkenaan mengenai bahu dan paha sebelum memberkas kedua-dua mereka,'' katanya pada sidang akhbar di IPD Besut hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal.
Suspek yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan manakala anggota polis terbabit dihantar ke Hospital Besut di Jerteh untuk rawatan lanjut.
''Seorang lagi suspek kini ditahan di IPD Pasir Puteh untuk siasatan lanjut,'' katanya.
Kamarudin memberitahu, siasatan awal mendapati nombor pendaftaran pada lori yang membawa muatan perabot itu palsu dan ia dilaporkan dicuri di Pulau Pinang.
Katanya, kedua-dua suspek dikehendaki polis bagi menyelesaikan beberapa kes jenayah di Besut dan Pasir Puteh. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan