
Artikel
Dua Pengarah Pdrm Dikurnia Gelaran Datuk Oleh Yang Di Pertuan Agong
Kuala Lumpur, 5 Jun 2023 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Sri Mohd Kamarudin Md Din serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan...
Kuala Lumpur, 5 Jun 2023 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Sri Mohd Kamarudin Md Din serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Datuk Aidi Ismail hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran Pingat Jasa Negara (P.J.N.) yang membawa gelaran "Datuk" oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
Mereka dikurniakan P.J.N. dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2023 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Duta, di sini.
Yang turut dikurniakan P.J.N. ialah bekas Pengarah Cawangan Khas, pesara CP Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan.
Berangkat hadir sama tadi ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Istiadat pada tahun ini menyaksikan seramai 839 penerima dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan.
Hadir sama dalam istiadat tadi ialah Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Pengerusi PERKEP JSJN, Datin Sri Johariah Urib Mohd Ariffin serta Pengerusi PERKEP JPJKK, Raja Datin Asaudat Raja Muda.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.






