
Artikel
Dua Pengarah Pdrm Dahului Senarai Penerima Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis Bagi Sesi Kedua
Kuala Lumpur, 12 Januari 2023 - Pengurniaan Pingat Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis Tahun 2022 diteruskan lagi hari ini dengan men...
Kuala Lumpur, 12 Januari 2023 - Pengurniaan Pingat Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis Tahun 2022 diteruskan lagi hari ini dengan menyaksikan Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Hj. Baharuddin Hj. Ahmad serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Dato’ Aidi Ismail mendahului senarai penerima di Balairung Seri Istana Negara, di sini.
Istiadat pengurniaan bagi sesi kedua itu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah kepada seramai 250 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam istiadat tersebut, Dato’ Hj. Baharuddin, Dato’ Aidi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato' Idris Abdullah telah dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P.) oleh Seri Paduka Baginda. Manakala Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim pula antara 46 penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P.).
Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (P.P.P.) kepada 59 penerima, lima penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (K.P.P.) dan 137 penerima Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (B.P.P.).
Hadir sama tadi, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman dan isteri Datin Aniza Abdul Rahim, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, dan Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain dengan isteri, Puan Sri Zainah Othman serta barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin











