Dua Penganggur Ditahan Miliki Heroin Dan Pil Kuda Di Dungun
Dungun, 25 Ogos- Dua penganggur ditahan bersama sejumlah dadah yang dipercayai pil kuda dan heroin bernilai lebih RM10,000 dalam dua serbuan di daerah Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata suspek pertama berusia 36 tahun diberkas dalam Op Tapis di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya kira-kira pukul 3 pagi, Sabtu lepas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang juga penduduk tempatan itu, polis menemui 13 botol plastik bertudung kuning dipercayai heroin seberat 59.92 gram bernilai RM5,200.
Polis kemudian turut menemui 150 biji pil berwarna merah disyaki pil kuda bernilai RM2,250.
"Dalam serbuan kedua kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun di sebuah rumah di Jalan Beril Indah dan menjumpai tiga botol plastik dipercayai dadah jenis heroin dan 70 biji pil kuda bernilai kira-kira RM2,250," katanya dalam satu sidang media di sini hari
ini.
Ahmad berkata, kedua-dua suspek juga positif dadah dan ditahan reman sehingga 29 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-BERNAMA