Dua Pemuda Ditemui Selamat Selepas Lima Hari Sesat Di Bukit Jabal Dungun
Dungun, 21 Mei - Dua pemuda yang dilaporkan hilang ketika mencari kayu di kawasan hutan Bukit Jabal di sini sejak Ahad lalu ditemui selamat tengah hari tadi.
Mohd Faizal Abdul Wahab, 29, dari Kampung Che Lijah dan Mohd Norfarham Mustaffa Harun, 28, dari Kampung Bukit Lat ditemui pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terbabit pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata kedua-dua mereka ditemui kira-kira 10 kilometer dari jalan utama dalam keadaan selamat namun sedikit keletihan.
Katanya seramai 36 anggota keselamatan melibatkan pasukan polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam, Pejabat Hutan serta penduduk kampung telah melancarkan usaha bagi mengesan kedua-edua pemuda terbabit.
"Sebanyak lima kumpulan telah dipecahkan bagi menjejaki mangsa dan pasukan penyelamat berjaya menemui petunjuk menerusi penemuan umbut palas yang dimakan kedua-dua mangsa selama sesat di dalam hutan tebal berkenaan.
"Mangsa yang ditemui dalam keadaan keletihan kemudiannya dibawa keluar dengan berjalan kaki sebelum dibawa dengan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya pasukan mencari dan penyelamat mengambil masa sejam setengah sebelum dapat membawa mangsa keluar dan dibawa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
- BERNAMA