Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Lelaki Termasuk Warga Thai Ditahan 5kg Daun Ketum Dan Wang Rm2 366 Dirampas

Published: 18 Sep 2015 10.03 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Shah Alam, 18 Sept- Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thai dan merampas lima kilogram daun ketum serta wang tunai RM2,366 dalam satu kejadian di Jambatan Muhibah, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-lelaki-termasuk-warga-thai-ditahan-5kg-daun-ketum-dan-wang-rm2-366-dirampas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 07:57 MYT

Shah Alam, 18 Sept- Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thai dan merampas lima kilogram daun ketum serta wang tunai RM2,366 dalam satu kejadian di Jambatan Muhibah, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Azman Abdul Razak berkata dalam kejadian 5 petang di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) itu, pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam yang sedang melakukan rondaan, mengekori kereta suspek yang dilihat mencurigakan.

Kedua-dua lelaki yang menaiki Perodua Myvi berwarna putih cemas melihat kehadiran tiga anggota polis URB menyebabkan mereka memecut laju kenderaan memasuki persimpangan ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menuju Pelabuhan Klang.

"Kedua-dua suspek terus memecut kereta sehingga ke Jambatan Muhibah, Pelabuhan Klang dan cuba melanggar seorang anggota URB yang mahu menahan kenderaan mereka.

"Bagi mempertahankan diri, anggota URB berkenaan terpaksa melepaskan tembakan pada tayar kiri hadapan kereta suspek, namun mereka tekad menghimpit pula anggota polis itu ke sebelah kanan jalan raya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Azman berkata tindakan suspek menyebabkan anggota URB yang sama bertindak memecahkan cermin tingkap sebelah pemandu untuk mempertahankan diri selain bagi memberhentikan kereta berkenaan.

Beliau berkata tindakan berani anggota pasukan URB itu berjaya menahan kedua-dua suspek iaitu seorang warga tempatan berumur 33 tahun dan seorang warga Thai berusia 30 tahun.

"Ketika ditahan, polis turut merampas lima kilogram daun ketum yang dijumpai di tempat duduk belakang dan bonet, sementara wang tunai dijumpai pada seluar seorang daripada suspek. Polis juga merampas kenderaan dinaiki kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut bagi mengetahui siapa pemiliknya," kata beliau.

Azman berkata siasatan lanjut mendapati lelaki warga tempatan yang menetap di Shah Alam itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, kira-kira dua tahun lepas.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh selain disiasat di bawah Akta Racun 1952 kerana memiliki daun ketum.- BERNAMA

ArticlePublished 18 Sep 2015 10.03 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM