Dua Lelaki Pembuat Senapang Ditahan Polis
KUALA
PILAH, 28 Sept (Bernama) -- Dua lelaki bersaudara pakar membuat
senapang dan seorang pelanggan mereka ditahan polis dalam satu serbuan
di sebuah rumah di Kampung Sungkak kira-kira pada pukul 2 pagi Isnin.
Enam pucuk senapang yang dirampas polis itu diledakkan oleh letusan angin dan menggunakan bebola besi sebagai peluru.
Ketua
Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata, pada awalnya polis
menyerbu mereka disebabkan terdapat maklumat tentang dadah dan ketika
dikepung, suspek berada dalam keadaan khayal dan mereka turut menjumpai
dua bungkus dadah jenis syabu.
"Suspek
berusia 37 dan 28 tahun. Suspek membuat senapang angin itu dengan bahan
terpakai dan menjual senjata itu dengan harga RM300 selaras," katanya
kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Selepas
disoal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dari
Kampung Sungai Dua Kecil pada pukul 4.30 petang hari yang sama yang
dipercayai telah membeli senapang itu daripada mereka, katanya.
"Kita
dapati kesemua suspek gagal ujian air kencing dan positif dadah, salah
seorang dari mereka juga mempunyai rekod jenayah," katanya.
Mereka
semua akan didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 di
mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau
denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menganggap senapang angin ini seperti barang mainan kerana ia tetap membahayakan.