Artikel
Dua Lelaki Pecah Rumah Dicekup
Johor Baharu, 27 Mei - Tindakan pantas seorang jiran yang menghubungi polis berjaya menyelamatkan lima sekeluarga selepas rumah mereka dipecah masuk dua lelaki...
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis menahan kedua-dua suspek yang masih berada di rumah mangsa sejurus selepas dimaklum berkaitan kejadian itu pada kira-kira 12.30 tengah hari.
"Bertindak atas maklumat orang awam terbabit, sepasukan polis dari Balai Polis Permas Jaya terus ke tempat kejadian dan kemudian menahan kedua-dua mereka yang berumur 25 dan 33 tahun itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Beliau berkata mangsa yang terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak berumur empat serta tujuh tahun berjaya diselamatkan.
Polis juga merampas pelbagai barangan dan senjata yang digunakan dalam jenayah itu daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun, termasuk wang tunai, komputer riba, Ipad, telefon bimbit, alat permainan PSP dan seutas jam tangan.
Mohd Mokhtar berkata suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki rekod jenayah berkaitan curi kenderaan dan dadah.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 11 kes samun, lima kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan selepas menahan tujuh lelaki sekitar bandar raya ini pada 13 Mei lepas.
Beliau berkata suspek yang berumur 22 hingga 45 tahun ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara dan lima daripada mereka memiliki rekod jenayah berkaitan dadah, samun serta pecah rumah.
"Polis merampas pelbagai barangan daripada mereka, termasuk sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang dilaporkan hilang di kawasan Seri Alam di sini, sembilan pisau, 18 jam tangan pelbagai jenama, 11 telefon bimbit, 13 komputer riba, enam kamera, dua televisyen, pelbagai kunci, dua pasport Malaysia, tiga cukai jalan kenderaan serta dua kad pengenalan," katanya.
Suspek yang dipercayai terlibat dengan jenayah sejak tiga bulan lepas, kini ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan. - BERNAMA