Artikel
Dua Lelaki Ditahan Kerana Menyamun
Johor Bahru, 29 Mei - Polis menahan dua lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Nusa Bestari, di sini, dua hari lepas, kerana menyamun seorang lelaki d...
Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed berkata kedua-dua mereka yang berumur lingkungan 30an itu ditahan selepas mangsa sempat menghubungi rakannya bagi memohon bantuan dari pihak polis.
"Kejadian dipercayai bermula kira-kira pukul 1.30 pagi apabila dua lelaki tersebut menghampiri mangsa yang sedang minum di sebuah kedai berhampiran Pasar Raya Giant di perumahan itu.
"Kedua-dua lelaki itu kemudian mengekori mangsa ke kereta sebelum mengacukan sebilah pisau dan objek menyerupai pistol ke arah mangsa," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Noor Hashim berkata kedua-dua mereka terus mendesak mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM500 sekiranya tidak mahu dicederakan sehinggakan mangsa terpaksa menyerahkan wang RM200 kepada kedua-duanya.
Beliau berkata mangsa kemudian mengajak kedua-dua lelaki terbabit minum di sebuah pusat hiburan berdekatan sebelum menggunakan peluang tersebut menghubungi rakannya untuk bantuan.
Katanya, pemeriksaan polis pada kedua-dua lelaki yang berasal dari Selangor itu menemui sepucuk pistol mainan berwarna hitam dan beberapa keping wang tunai berjumlah RM450.
Kedua-dua mereka kini katanya direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Dalam kes lain, Noor Hashim berkata polis menahan seorang lelaki, dua hari lepas, kerana dipercayai merogol seorang gadis berumur 17 tahun, di Gelang Patah, di sini.
Beliau berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi di kawasan berdekatan selepas polis menerima satu laporan daripada gadis itu, sehari sebelum itu.
"Lelaki itu yang menumpang di rumah keluarga gadis berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali sejak awal tahun ini dengan kejadian terakhir pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 17 Mei lepas.
"Lelaki itu turut mengugut untuk mencederakan gadis itu dan memintanya merahsiakan kejadian terbabit sebelum gadis itu akhirnya menceritakan perbuatan itu kepada ibunya tiga hari lepas," katanya.
Menurut Noor Hashim, lelaki itu yang dianggap sebagai saudara oleh gadis berkenaan melakukan perbuatan tersebut ketika keluarga gadis itu tidak berada di rumah dan dia yang tidak bekerja serta positif terhadap dadah kini ditahan reman sehingga Ahad ini. - BERNAMA