Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Dua Lelaki Ditahan Cuba Pecah Mesin Atm

Diterbitkan: 14 Nov 2014 1.52 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Alor Setar, 13 Nov - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua buah bank berasingan di daerah Kota Setar, dalam serbuan awal pagi semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-lelaki-ditahan-cuba-pecah-mesin-atm
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 17:28 MYT
Alor Setar, 13 Nov - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua buah bank berasingan di daerah Kota Setar, dalam serbuan awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu dipercayai cuba melakukan jenayah itu di sebuah bank di Pokok Sena pada 6 Nov lepas dan sebuah lagi di Simpang Empat pada Selasa lepas.

Mereka ditahan di rumah masing-masing di sekitar Alor Setar berikutan tindakan pantas polis hasil pemerhatian terhadap kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedua-dua bank berkenaan iaitu.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata dalam kejadian pertama, kedua-dua suspek cuba memecah ruang ATM di sebuah bank di Pokok Sena pada pukul 2 pagi dengan cara mengumpil pintu kaca bank tetapi tindakan mereka gagal apabila penggera keselamatan berbunyi sebaik pintu tersebut diumpil.

Katanya rakaman CCTV bank menunjukkan kedua-dua suspek cuba mengumpil pintu kaca bank tersebut dalam masa kurang 10 minit tetapi tidak berhasil berikutan penggera keselamatan yang dipasang di situ berbunyi.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek memakai penutup muka semasa cubaan memecah masuk ke dalam bank. Selepas penggera keselamatan berbunyi suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semalam.

Katanya polis juga percaya kedua-dua suspek ini turut terlibat dalam satu cubaan memecah sebuah mesin ATM di sebuah bank di Simpang Empat pada Selasa lalu pada pukul 3 pagi tetapi juga gagal, dan ketika itu mereka menaiki motosikal Yamaha LC.

DCP Datuk Zakaria berkata kegiatan itu bukanlah secara sindiket tetapi beliau percaya kemungkinan ada rakan-rakan suspek yang terlibat sama dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek kenal antara satu sama lain dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Dalam serbuan itu, kita juga berjaya menjumpai satu rangka motosikal yang dileraikan, dipercayai dilaporkan hilang di Rawang, Selangor.

"Selain itu kita juga merampas sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan kuku kambing dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan itu," katanya.

Katanya kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 511 KK kerana cuba melakukan jenayah.- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 14 Nov 2014 1.52 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM