Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Dua Lelaki Amerika Latin Ditahan Di Ipoh

Diterbitkan: 28 May 2015 11.36 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Ipoh, 28 Mei - Dua lelaki Amerika Latin yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika menjalankan tugasan rondaan mencegah jenayah di Taman Pertama di sini, Isnin lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-lelaki-amerika-latin-ditahan-di-ipoh
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:54 MYT


Ipoh, 28 Mei - Dua lelaki Amerika Latin yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika menjalankan tugasan rondaan mencegah jenayah di Taman Pertama di sini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Othman berkata dalam kejadian pukul 1.45 tengah hari itu, suspek yang berusia 39 dan 42 tahun ditahan ketika melakukan kegiatan pecah rumah.

"Modus operandi mereka ialah dengan cara membaling batu ke rumah mangsa sebelum memecah masuk.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai masuk ke negara ini secara haram melalui sempadan di sebelah utara," katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan iaitu pemutar skru, ragum, sarung tangan, sebuah telefon bimbit serta wang tunai.

Anuar berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan reman sehingga 9 Jun depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, Anuar berkata polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri meter air di Jalan Kuala Kangsar, Isnin lepas.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di depan sebuah kedai barangan lusuh ditahan pada pukul 3.45 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Tawas.

Anuar berkata suspek berusia 32 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut sejak enam bulan lepas di sekitar Ipoh dan Gopeng.

"Polis merampas 16 unit meter air dalam beg yang disandang suspek serta sebuah motosikal jenis Yamaha 100,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas 20 unit meter air yang telahpun dijual di kedai barangan lusuh berkenaan.

Anuar berkata suspek memiliki lima rekod jenayah berkaitan kes dadah serta curi motosikal dan dia kini ditahan direman sehingga esok.

"Kami turut menahan pemilik kedai barangan lusuh itu yang berusia 37 tahun kerana bersubahat membeli meter air yang dicuri," katanya sambil menambah pemilik kedai itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 28 May 2015 11.36 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM