Dua Lagi Suspek Ditangkap Kes Bunuh Pemandu Lori Selesai
Shah
Alam, 2 Mei - Polis Selangor berjaya menyelesaikan kes pembunuhan
seorang pemandu lori di Subang Jaya pada Ahad lepas, selepas memberkas
dua lelaki di Taman Puchong Perdana, dekat sini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata
kedua-dua suspek itu yang berusia 18 dan 21 tahun, ditahan di sebuah
rumah di kawasan itu pada kira-kira pukul 11.30 malam, Selasa lepas.
"Ketika
penahanan dibuat, polis turut merampas sebilah parang panjang, dua buah
motosikal dan lima telefon bimbit daripada pelbagai jenis, dipercayai
milik kedua-dua suspek.
"Hasil
pemeriksaan awal, polis percaya parang dan motosikal berkenaan
digunakan suspek untuk pergi ke tempat kejadian bagi melakukan kegiatan
jenayah mereka," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Mohd
Adnan berkata pemeriksaan terhadap satu daripada motosikal itu
mendapati ia pernah dilaporkan hilang di Pantai Dalam, Kuala Lumpur,
awal tahun ini.
Sebelum
ini, media melaporkan seorang wanita sanggup mengupah sekumpulan lelaki
untuk membelasah suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori, kerana
tidak tahan sering dipukul oleh suaminya itu.
Difahamkan,
niat asal wanita itu hanya mahu mengajar suaminya yang berusia 40
tahun, namun kesemua suspek yang menerima upah berjumlah RM3,600 dari
wanita itu telah bertindak memukul mangsa sehingga mati.
Berikutan
kejadian itu, polis telah menahan lima lelaki termasuk wanita itu di
Subang Jaya dan Puchong sejurus selepas kejadian.
"Susulan
penahanan lima lelaki itu, kita berjaya menahan dua lagi suspek. Dengan
penahanan dua lelaki yang merupakan suspek terakhir, kes bunuh itu,
kita sahkan kes ini telah selesai.
"Kelima-lima
suspek yang ditahan sejurus kejadian pada 28 April lalu kini direman
sehingga 5 Mei ini, manakala dua suspek terakhir ini masih menunggu
arahan tahanan reman untuk siasatan lanjut pihak polis," katanya.
Mohd
Adnan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat
sehingga tertangkapnya kesemua suspek itu. - BERNAMA

Ketika sidang media