Dua Beradik Ditahan Selepas Ragut Rm19 000
Temerloh,
21 Jan - Dua beradik tidak sempat membelanjakan wang berjumlah RM19,000
yang diragut mereka daripada dua pekerja KFC Starmall Mentakab di Jalan
Mok Hee Kiang di Mentakab apabila diberkas polis kira-kira tiga jam
kemudian.
Ketua
Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata kejadian berlaku
pada 3.45 petang ketika dua pekerja KFC Starmall Mentakab dalam
perjalanan ke ke Hong Leong Bank Mentakab untuk menyimpan wang itu.
"Ketika
tiba di tempat kejadian, dua lelaki yang menunggang motosikal telah
menolak seorang pekerja terbabit lalu meragut beg galas yang berisi
RM19,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Seorang
daripada suspek kemudian melarikan diri ke arah sebuah pasar raya
selepas dikejar orang ramai manakala seorang lagi menunggang motosikal
ke arah berlainan.
Polis
dan orang ramai kemudian mengepung pasar raya itu dan kawasan
sekitarnya sebelum dapat menangkap peragut berusia 17 tahun itu, yang
bersembunyi di dalam longkang besar berhampiran pasar raya.
Abdul
Aziz berkata berikutan penahanan remaja itu, polis dapat memberkas
abangnya yang berusia 20 tahun di kediaman mereka di Taman Seri Layang
Mentakab pada 12.30 malam tadi.
Hasil
siasatan, polis menemui semula wang tunai itu, kad pengenalan dan kad
mesin pengeluaran wang automatik milik mangsa selain merampas sebilah
pisau, topeng muka dan sarung tangan daripada suspek.
Dengan
tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut di
sekitar bandar Temerloh dan Mentakab sejak November lepas. Beliau
berkata kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah
Temerloh.
Sumber : BERNAMA