Dua Anggota Polis Parah Ditikam Pencuri
PETALING JAYA 18 Sept. - Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang parah selepas ditikam seorang pencuri yang cuba memecah sebuah kereta di Bandar Puteri di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Konstabel Ahmad Nil Mustakim Azman, 23, ditikam di lengan kiri manakala rakan setugasnya, Konstabel Mohd. Fitri Abdul Ghani, 21, cedera di kaki kanan.
Kedua-dua anggota tersebut terpaksa menyabung nyawa menangkap suspek warga Indonesia berusia 38 tahun itu walaupun mengetahui lelaki berkenaan memiliki senjata.
Rondaan polis sering dilakukan di kawasan itu kerana sejak Januari lalu, sebanyak 60 kes pecah kereta berlaku di kawasan sama.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kejadian pecah kereta dikatakan sering berlaku di hadapan Flat Akasia kerana kebanyakan penghuni flat itu meletakkan kenderaan mereka di kaki lima jalan.
Menurutnya, berikutan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan untuk mengatasi kejadian pecah kereta di kawasan berkenaan yang turut dianggotai oleh kedua-dua mangsa.
"Ketika kedua-dua mangsa dan dua lagi anggota sedang membuat rondaan dalam pakaian preman mereka ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memecah sebuah kereta jenis Honda City.
"Sebaik sahaja melihat suspek mengetuk tingkap kereta itu dengan batu, Ahmad Nil Mustakim cuba menangkap suspek yang kemudian bertindak agresif
"Ketika bergelut, suspek bertindak menikam mangsa. Mohd. Fitri yang cuba membantu turut ditikam di kaki," katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang dekat sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menambah, suspek berjaya ditahan oleh kedua-dua anggota yang cedera itu apabila dia juga mengalami kecederaan di kaki setelah terkena serpihan kaca tingkap kereta.
Abd. Razak memberitahu, kedua-dua anggota itu menerima rawatan Hospital Putrajaya sebagai pesakit luar manakala suspek dirawat di Hospital Serdang.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis merampas barang-barang curi yang dilakukan oleh suspek dalam lima kejadian sebelum ini di rumah kongsi yang didiami isterinya yang juga warga Indonesia di Jalan Puchong.
Katanya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 325 dan 397 Kanun Keseksaan manakala isterinya ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.