Doktor Pelatih Menyamar Polis Diberkas Ketika Samun Peniaga
IPOH, 13 Mei - Seorang doktor pelatih yang menyamar sebagai anggota
polis dengan mengenakan vest lut sinar berpangkat ASP diberkas polis
selepas cuba menyamun seorang peniaga di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata selain doktor berusia 26 tahun itu, polis turut memberkas tiga rakan suspek, dua daripadanya masing-masing berumur 24 tahun dan 21 tahun, kesemua berasal dari sini.
"Dalam
kejadian pada pukul 4.25 pagi itu, suspek pertama bersama-sama tiga
penuntut kolej swasta yang menaiki kereta Mercedes berwarna perak
miliknya bertindak menghalang kereta yang dipandu mangsa berumur 30
tahun di Jalan Dato Onn Jaafar," kata Sum kepada pemberita hari ini.
Suspek
pertama yang memakai vest polis itu kemudiannya terus membuka pintu
kereta mangsa dan menumbuk dada mangsa serta memberitahu bahawa dirinya
seorang ''polis CID'' dengan menunjukkan kad ''kuasa'' sambil
mempamerkan sepucuk ''pistol'' yang sebenarnya pistol mainan di pinggangnya, katanya.
Beliau
berkata suspek berkenaan meminta wang tunai RM350 daripada peniaga itu
jika mahu ''selesai'' selain mengugut akan membawa mangsa ke Balai Polis
Sungai Senam di sini jika gagal memenuhi tuntutan itu.
Sementara
itu, seorang daripada rakan suspek menaiki kereta mangsa dan mengikut
mangsa menuju ke sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah bagi tujuan
pengeluaran wang menerusi mesin ATM namun mesin berkenaan telah tutup.
"Suspek pertama kemudian meminta tambahan RM100 lagi selepas kecewa apabila mesin ATM tidak boleh digunakan.
"Mangsa
mahu meminta tolong daripada rakannya tetapi tidak dibenarkan oleh
suspek dan ketika itulah polis berkereta peronda tiba di tempat kejadian
selepas dimaklumkan petugas Balai Polis Pekan Baru yang menerima
maklumat orang awam," katanya.
Sum
berkata pihaknya terus menahan keempat-empat suspek dan merampas
sepucuk pistol penembak cicak, sarung pistol, gari dan kunci gari, vest
polis, topi berlambang PDRM, lampu bikon dan kad Agensi Ranger Khas
Malaysia.
Beliau
berkata kesemua mereka yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu
direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun
Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Suspek
pertama yang beralamat di Semenyih, Selangor itu, merupakan doktor
pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini sejak lebih setahun,
katanya. - BERNAMA