Ditahan Dua Jam Selepas Pecah Rumah
Kuantan,
3 Feb - Tidak sampai dua jam selepas empat lelaki memecah masuk dan
melarikan barangan berharga dari sebuah rumah di Cherating Perdana,
Jalan Kuantan-Kemaman di sini semalam, mereka telah ditahan.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Aziz Ahmad berkata kesemua suspek
termasuk ketuanya yang berumur antara 21 hingga 24 tahun ditahan di
kawasan parkir sebuah hotel di Cherating kira-kira pukul 8 pagi.
"Ketika
kejadian pemilik rumah tiada di rumah kerana pulang bercuti di Kerteh,
Terengganu sempena cuti Tahun Baharu Cina dan setelah pulang ke rumah
mangsa mendapati rumahnya telah dipecah masuk.
"Mangsa
kemudian telah membuat laporan polis dan berikutan itu satu pasukan
khas telah ditubuh memburu suspek terlibat," katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Antara barangan yang hilang ialah motosikal, televisyen, alat dekoder dan empat telefon bimbit.
Aziz
berkata hasil maklumat orang awam, polis berjaya menahan keempat-empat
suspek yang menaiki dua kereta yang yang dilaporkan hilang di Gambang
dan Bandar ini bulan lepas.
"Kita
juga menjumpai pelbagai jenis barangan yang dicuri oleh kumpulan ini
seperti barang kemas, jam tangan, pelbagai jenama rokok, buku simpanan
bank, tiga komputer riba, tiga televisyen, beg tangan wanita, telefon
bimbit, kunci kereta, pemain cakera padat digital (DVD) dan sejumlah
duit syiling serta wang tunai berjumlah RM600," katanya.
Beliau
berkata polis juga turut merampas satu straw mengandungi serbuk putih
dan tiga biji pil Eramin 5 disyaki dimiliki salah seorang suspek dan
kesemua barangan yang dirampas termasuk kenderaan dianggar bernilai
RM100,000.
"Ujian
saringan air kencing yang dibuat terhadap keempat-empat suspek terlibat
didapati kesemuanya positif dadah dengan dua daripada suspek juga
pernah mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Mereka
kini ditahan reman selama empat hari dan dengan penahanan suspek, pihak
polis percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah di Beserah serta
bandar ini sebelum ini.
Sumber : BERNAMA