
Article
Dato Sri Azmi Akhiri Perkhidmatan Dengan Penuh Dedikasi
Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Setelah hampir 39 tahun menabur bakti dan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim yang menguk...
Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Setelah hampir 39 tahun menabur bakti dan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim yang mengukir nama sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, berintegriti tinggi dan sentiasa mendahulukan kepentingan Pasukan serta kesejahteraan masyarakat akhirnya akan menamatkan perjalanan karier beliau sebagai seorang pegawai polis pada hujung bulan ini.
Menyingkap kembali sejarah perkhidmatan beliau dalam Pasukan, Dato’ Sri Azmi memulakan kerjaya sebagai Inspektor Percubaan pada 5 April 1987 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Setelah beberapa tahun berkhidmat, beliau telah diberikan kepercayaan untuk menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Polis Kelantan dan kemudian sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan di Bahagian Dasar Sumber Manusia serta Perkhidmatan dan Perjawatan Bukit Aman.
Pada tahun 2023, kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan sebelum bertukar portfolio kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) pada 16 Disember 2024 atas komitmen tinggi dan khidmat cemerlang yang dipamerkan.
Bagi menghargai jasa beliau dalam Sang Saka Biru, majlis Paluan Berundur sempena persaraan beliau telah berlangsung penuh istiadat di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur petang tadi yang dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM dan warga Pasukan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam Pasukan.
Majlis tersebut bertambah istimewa dengan persembahan khas yang menampilkan elemen serta aset jabatan KDNKA sekali gus menyerlahkan suasana penuh istiadat.
Terdahulu, telah berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA di Mes Pegawai Kanan PDRM,Bukit Aman.
Dato’ Sri Azmi menyerahkan jawatan yang disandang kepada pemangkunya, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, CP Dato’ Fisol Salleh dengan disaksikan oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid. Majlis yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang itu, dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas dan kemudiannya disusuli dengan penyerahan tongkat kuasa.
Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP jabatan KDNKA di antara Datin Sri Sharifah Rodziah Syed Agil kepada Naib Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA Datin Hajah Norli Ahmad yang akan memangku tugas jawatan Pengerusi PERKEP jabatan berkenaan. Penyerahan tugas tersebut telah disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menyifatkan Dato’ Sri Azmi sebagai seorang pemimpin yang keperibadian yang unggul serta kepimpinan yang berkaliber dan merupakan seorang mentor, sumber inspirasi serta tonggak utama dalam pelbagai inisiatif keselamatan negara.
"Pengalaman luas dan kebijaksanaan Dato’ Sri Azmi adalah aset berharga yang akan sentiasa menjadi rujukan penting dalam perkhidmatan ini. Kami berharap, sekali pun sudah bersara, Dato’ Sri akan terus memberikan pandangan dan nasihat demi kemajuan PDRM," ujar beliau.
Selamat bersara Dato’ Sri Azmi Abu Kassim! Semoga Dato' Sri menjalani tempoh persaraan dengan penuh bahagia bersama Datin Sri dan seluruh keluarga tercinta. Kepimpinan Dato’ Sri pastinya akan meninggalkan legasi yang tidak akan luput dari ingatan setiap lapisan warga Pasukan Keramat Sang Saka Biru ini.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid