
Dato Mohd Khalil Cemerlang Sepanjang 6 Bulan Terajui Jsjn
Kuala Lumpur, 7 Februari 2020 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Mohd Khalil Kader Mohd optimis melaksanakan visi dan misi jabatan meskipun beliau hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk memenuhi ekpektasi pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta masyarakat, selepas mengambil alih jawatan tersebut pada 15 Julai 2019.
Dengan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki, beliau telah memberi sepenuh komitmen dalam merangka serta merancang strategi terbaik untuk membawa JSJN ke tahap lebih baik, selain memastikan kejayaan diperoleh setiap kali operasi membanteras aktiviti dadah dijalankan.
Ternyata, di bawah pimpinan beliau, pelbagai jenis operasi seperti Op Ice Breaker, Op Wild Cat, Op Club Rats, Op Damn Tokan dan Op Blue Devil berjaya merekodkan jumlah rampasan dadah serta tangkapan suspek yang tinggi.
JSJN turut melakar beberapa kejayaan besar, antaranya rampasan sebanyak 12 tan dadah jenis Kokain bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang, menerusi Op Eagle pada 10 September 2019.
Terbaharu, di bawah inisiatif JSJN, Bahagian Lapangan Terbang Narkotik (Narcotic Airport Division) telah diwujudkan di beberapa lapangan terbang seluruh Malaysia bagi mengukuhkan kawalan pintu masuk negara dalam usaha membanteras penyeludupan dadah melalui jalan udara.
“Sekalipun baru memimpin JSJN, usaha Dato' Mohd Khalil dengan mempergiat operasi dan memperkenalkan pendekatan yang lebih tegas serta agresif telah menjadikan jabatan itu begitu cemerlang sekali," ucap Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dalam Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJN kepada peneraju baharu, CP Dato' Ramli Din di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Tambah Tan Sri Abdul Hamid, legasi yang ditinggalkan Dato’ Mohd Khalil melalui slogan, "Malaysia Bersih Dadah" itu akan kekal sebagai wawasan yang perlu direalisasikan, demi memastikan JSJN kekal relevan.
Bagi memberi penghormatan terakhir sebelum Dato’ Mohd Khalil bersara secara rasmi pada Isnin depan, seramai 2,000 pegawai dan anggota PDRM hadir memeriahkan Majlis Paluan Berundur Pengarah JSJN yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, di sini pada sebelah petang.
Upacara yang berlangsung kira-kira sejam itu turut diserikan dengan pimpinan persembahan Pancaragam Pusat PDRM oleh Dato’ Mohd Khalil sendiri.
Suasana sedikit sebak ketika beliau bersalaman dengan warga PDRM, terutama dari jabatannya sendiri sebelum dibawa menaiki kenderaan istiadat bersama isteri, Datin Hajah Radziah Zakaria dan ahli keluarga sebagai simbolik tanda perpisahan.
Antara yang turut hadir dalam kedua-dua majlis tadi ialah Timbalan KPN, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, barisan Pengarah PDRM, para pegawai kanan, anggota, pegawai awam dan rakan media.
Dato’ Mohd Khalil telah memulakan karier dalam PDRM pada 28 Mac 1982 sebagai Inspektor selepas mengikuti latihan asas kepolisan di PULAPOL Kuala Lumpur.
Sepanjang 38 tahun berkhidmat, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting seperti Ketua Polis Daerah Putrajaya pada tahun 2003, Timbalan Ketua JSJN (Risikan/Operasi) Sabah (2009), Setiausaha PDRM (2016) dan Ketua Polis Johor pada tahun 2016.
Ternyata, pencapaian JSJN melalui usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Dato’ Mohd Khalil, secara tidak langsung telah menaikkan nama serta imej JSJN serta PDRM di mata masyarakat.
Selain itu, ia (pencapaian) menjadi penanda aras kepada jabatan tersebut bagi mempergiatkan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan serta negara serantau lain dalam membanteras aktiviti dadah di negara ini sehingga ke akar umbi.
Seluruh warga PDRM mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan bakti Dato’ Mohd Khalil sepanjang berkhidmat dalam Pasukan, dan semoga bakal menjalani tempoh persaraan dengan bahagia bersama keluarga tercinta.
Selamat bersara Dato’ Mohd Khalil!
Saksikan video rakaman kedua-dua majlis tersebut pada pautan berikut:
1. Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJN, https://www.facebook.com/jsjnpdrm/videos/818311395316963/
2. Majlis Paluan Berundur Pengarah JSJN, https://www.facebook.com/jsjnpdrm/videos/207947460391345/
Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Mohd Khalil Kader Mohd menyerahkan Tongkat Kuasa kepada CP Dato' Ramli Din dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.
Ketibaan Timbalan KPN, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
Ketibaan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador ketika memberi tabik hormat kepada Pancaragam Pusat PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
Ketibaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Mohd Khalil Kader Mohd pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur
Persembahan Pancaragam Pusat PDRM pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
CP Dato’ Mohd Khalil Kader Mohd diberi penghormatan memimpin Pancaragam Pusat PDRM pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur
Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Mohd Khalil Kader Mohd.
Upacara menandatangani Dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JSJN.
Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi PERKEP JSJN.
Bergambar kenangan.