Dalang Kes Culik Peguam Setahun Lalu Diberkas
Kuala
Lumpur, 8 Jan - Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam
kejadian menculik seorang peguam pada Mei 2012 ditahan di sini Sabtu
lepas selepas diburu lebih setahun.
Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata
lelaki itu yang berusia 32 tahun sebelum itu dipercayai terbabit dengan
satu insiden pergaduhan yang melibatkan sekumpulan lelaki yang berpunca
daripada kes tarik kereta.
"Pada
mulanya dia ditahan selepas insiden pergaduhan itu dan selepas semakan
dibuat, dia didapati mempunyai rekod jenayah lampau sebagai individu
yang dikehendaki berkaitan satu kes culik seorang peguam di Kepong pada
2012 serta kes dadah.
"Soal
siasat yang dijalankan membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis
Beretta di sebuah pangsapuri di Sungai Buloh yang dipercayai digunakan
semasa kejadian culik. Turut ditemui lapan butir peluru hidup," katanya
pada sidang media di sini hari ini.
Khairi berkata suspek juga dipercayai menyimpan wang tebusan sebanyak RM15,000 yang diperoleh daripada mangsa.
Beliau berkata empat lagi rakan jenayah suspek yang terbabit dengan kes culik itu telah didakwa.
Kes
yang melibatkan suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api
(Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana
memiliki senjata api dan peluru.
Pada
18 Mei 2012, peguam itu diculik ketika berada di sebuah kedai makan di
Metro Prima, Kepong selepas didatangi lima lelaki yang salah seorang
daripada mereka mengacukan pistol pada badan mangsa.
Peguam
itu kemudiannya dipaksa menaiki sebuah kereta dan dibawa ke Rawang dan
dikurung selama lima hari selain dicederakan sebelum dia membayar wang
tebusan.
Peguam
itu diselamatkan sepasukan polis Bandar Tasik Puteri, Rawang. Susulan
itu polis menahan empat daripada lima penjenayah terbabit.
Sumber : BERNAMA