Dadah Bernilai Rm8 5 Juta Dirampas Daripada Dua Sindiket
Kuala
Lumpur, 12 Julai - Polis merampas 47.2 kg syabu dan 81 gram heroin
dianggarkan bernilai RM8.5 juta dalam dua serbuan berikutan penahanan
tiga lelaki tempatan daripada dua sindiket penyeludupan dadah
antarabangsa.
Kesemua suspek berumur antara 36 dan 66 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di tempat letak kereta sebuah bangunan di Damansara, Rabu lalu.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid
Ibrahim berkata dalam serbuan pertama kira-kira 12.45 tengah hari JSJN
KLIA menahan dua suspek lelaki yang baharu tiba dengan pesawat
penerbangan dari luar negara.
"Hasil
siasatan polis telah berjaya menemui sebuah beg pakaian yang dipercayai
ditinggalkan oleh dua warga Myanmar di hadapan sebuah kedai di dalam
bangunan KLIA sebelum diambil oleh dua suspek berkenaan.
"Dari
pemeriksaan beg tersebut kita telah menjumpai 12 bungkusan plastic
bertulis 'Guanyinwang Refined Chinese Tea' dan satu bungkus plastik
tulisan Cina di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi
syabu dengan berat 12.7 kg," katanya.
Pada
keesokannya, kira-kira 10.10 pagi di Pejabat 'Lost and Found' Malaysian
Airline System, KLIA, polis menemui 34 paket plastik mengandungi dadah
seberat 34.5 kg dalam dua buah beg, katanya.
Dalam
kes kedua pula, polis mengesan aktiviti penyeludupan dadah jenis heroin
ke Australia selepas menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun
di Damansara, 1.45 tengah hari.
Ekoran
penahanan itu, polis menyerbu serta memeriksa sebuah premis di Kinrara,
Puchong pukul 8 malam dan menemui 81 gram heroin dalam sebuah pembersih
vakum.
Noor
Rashid turut berkata polis juga menemui 417 unit bahagian motor, 423
bahagian atas pam empar yang mempunyai kesan serbuk heroin serta
beberapa guni dan plastik berisi silinder dan kepingan logam.
Beliau percaya sindiket tersebut menyembunyikan dadah ke dalam bahagian mesin pam empar sebelum ia diseludup ke Australia.
Noor
Rashid berkata polis turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasa luar
negara dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah di dalam negara dapat
ditumpaskan.
Kesemua
suspek ditahan reman sehingga 17 Julai ini dan kes disiasat mengikut
Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati
mandatori jika disabitkan kesalahan.
Sementara
itu, Noor Rashid berkata jumlah aset melibatkan kegiatan dadah yang
disita meningkat 91 peratus antara Januari hingga Jun tahun ini
berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau berkata dalam tempoh itu nilai aset yang disita tahun ini adalah RM48.11 juta berbanding RM25.21 juta tahun lepas.
Secara keseluruhan, seramai 85,805 orang ditangkap daripada 79,192 kes kegiatan dadah di seluruh negara. - BERNAMA