Dadah Bernilai Rm8 000 Dirampas Seorang Lelaki Ditahan
Ipoh, 5 Feb - Polis menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM8,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Balun Bidai, dekat Kampung Gajah pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Aziz Hasan berkata suspek yang dipercayai pengedar dadah berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 12.45 tengah hari hasil maklumat orang awam dan risikan polis.
"Polis merampas enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 255 gram, dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 10.8 gram serta tiga foil aluminium dipercayai mengandungi Eramin 5 seberat 8.2 gram," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- BERNAMA