Dadah Bernilai Rm143 000 Disorok Dalam Bonet Kereta
KUANTAN,
26 Feb - Polis menahan dua buruh ladang dipercayai pengedar dadah dan
merampas lima kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM143,000
daripada mereka dalam satu serbuan di Bandar Tun Razak, Jengka petang
semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, DSP Zaini Talib berkata dadah tersebut ditemui tersimpan dalam bonet kereta yang dinaiki kedua-dua buruh itu.
Beliau berkata hasil maklumat orang awam sepasukan polis cuba menahan sebuah kereta di Lintasan Semarak.
"Menyedari
kehadiran polis, pemandu berkenaan telah memecut kereta dalam cubaan
melarikan diri namun gagal apabila keretanya merempuh sebatang pokok dan
kedua-dua lelaki itu berjaya diberkas pada 3.15 petang.
"Polis
juga terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu apabila
kedua-dua suspek enggan bekerjasama sebelum berlaku pergelutan," kata
beliau.
Siasatan
awal polis mendapati kedua-dua suspek berusia 34 dan 39 tahun itu
berasal dari Banting, Selangor dan didapati positif dadah jenis morfin.
Hasil semakan juga mendapati suspek yang berusia 39 tahun itu
dikehendaki polis serta memiliki dua rekod jenayah lampau.
"Polis
percaya suspek aktif mengedar dadah di daerah Maran, Kuantan dan
Temerloh sejak dua bulan lalu yang dibawa masuk dari Lembah Klang.
"Kita
juga percaya tangkapan ini ada kaitan dengan tangkapan sebelum ini
melibatkan 24 kes pada Januari lepas dan berkemungkinan ada sindiket
yang lebih besar," tambah beliau lagi.
Suspek
kini direman seminggu sejak semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan
dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -
BERNAMA