Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Curi Motosikal Sumbang 50 Peratus Kes Jenayah Perlis

Diterbitkan: 23 Mar 2016 11.48 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.31 PM
Arau, 23 Mac - Kecurian motosikal menyumbang 50 peratus daripada jumlah kes jenayah di Perlis bagi suku pertama tahun ini, kata Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/curi-motosikal-sumbang-50-peratus-kes-jenayah-perlis
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 11:10 MYT

Arau, 23 Mac - Kecurian motosikal menyumbang 50 peratus daripada jumlah kes jenayah di Perlis bagi suku pertama tahun ini, kata Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.

Katanya walaupun indeks jenayah Perlis masih rendah berbanding negeri-negeri lain, polis tetap akan terus meningkatkan usaha membanteras jenayah daripada berleluasa.

Beliau berkata purata indeks jenayah negeri ini hanya dua kes sehari manakala jumlah tertinggi pernah dicatatkan hanyalah lima kes.

"Kecurian motosikal berlaku tidak kira tempat di sebalik kekerapan polis membuat rondaan pencegahan dan intipan. Selagi penjenayah berpeluang, mereka akan lakukannya.

"Justeru, kerjasama masyarakat juga amat penting," kata Shafie kepada pemberita selepas menyaksi majlis serah-terima tugas Ketua Polis Daerah Arau antara Supt Ku Yaacob Ku Hamad dan Supt Nanda Maarof di IPD Arau di sini, hari ini.

Supt Ku Yaacob, 60, bersara wajib berkuat kuasa hari ini selepas berkhidmat selama 38 tahun empat bulan termasuk sebagai Ketua Polis Arau selama lapan bulan.

Shafie juga berkata semua ketua polis daerah dan ketua polis balai diingatkan kerap turun padang mendampingi masyarakat secara rasmi atau tidak agar mereka yakin polis serius menjaga keselamatan mereka.

Sementara itu, Supt Nanda, 53, yang berasal dari Seremban, menjadi Ketua Polis Arau ketiga sejak IPD Arau diwujudkan pada Okt 2010.

Jawatan beliau sebelum ini ialah Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 23 Mar 2016 11.48 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.31 PM