Curi Motosikal Geng Gonchar Hilang Taring
KANGAR
- Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi motosikal dikepalai oleh Geng
Gonchar yang bermaharajalela di sekitar negeri ini apabila menangkap
empat ahli kumpulan itu termasuk seorang pelajar sekolah berusia 16
tahun dalam dua siri tangkapan baru-baru ini.
Timbalan
Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata,
ketiga-tiga suspek ditahan yang terdiri daripada penganggur dan mekanik
itu berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dan masih dalam tahanan reman
sehingga 27 Disember ini, manakala seorang lagi diberi jaminan polis.
Menurutnya,
polis masih memburu tiga individu disyaki ahli kumpulan itu yang masih
bebas bagi menyelesaikan beberapa siri kes kecurian motosikal dan
kesemuanya berumur antara 19 tahun hingga lewat 20-an.
“Selain
itu, hasil penahanan empat suspek membolehkan polis menemui 12 kerangka
motosikal jenis Honda EX5, tiga kerangka Modenas Kriss, tiga kerangka
Yamaha dan dua penutup enjin yang dilupuskan di dalam Sungai Panggau,
Tok Kuning dan anak-anak sungai
sekitarnya dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Pulau Pinang.
“Kesemua
mereka yang terlibat dikenal pasti merupakan rakyat Perlis dan polis
tidak menolak kemungkinan kesemua mereka bertindak sebagai orang tengah
yang ditugaskan mencuri motosikal untuk mendapat komponen.
“Polis
turut percaya kegiatan Geng Gonchar sudah lama berdasarkan bilangan
keseluruhan kerangka motosikal berjumlah 20 buah yang dijumpai selain
masih berusaha mencari dalang utama kegiatan kumpulan ini,” katanya pada
sidang media di bilik sidang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di
sini semalam.
Turut
hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kangar, Asisten
Superintendan Sabtu Md Ali dan Ketua Pasukan Khas (Task Force) yang
ditubuhkan bagi menyiasat dan menumpaskan kegiatan Geng Gonchar, Sarjan
Zulkifli Othman.
Kes
tangkapan Geng Gonchar dan rampasan kerangka 20 motosikal akan disiasat
di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan di bawah kesalahan mencuri
kenderaan bermotor dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman
penjara tidak kurang setahun dan melebihi tujuh tahun selain boleh
dikenakan denda.
Md
Zukir berkata, dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis Perlis
sehingga kini berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal melibatkan
kumpulan itu atau 32.05 peratus berbanding keseluruhan jumlah kes
kecurian motosikal sepanjang tahun sebanyak 351 kes.
“Berdasarkan
statistik kecurian motosikal di seluruh Perlis sepanjang tahun ini,
pihak kami berjaya menyelesaikan 79 kes yang mewakili 22.51 peratus
daripada keseluruhan jumlah kes sama.
“Statistik
yang diperoleh turut menunjukkan peningkatan positif polis Perlis
apabila berjaya mengurangkan 62 kes kecurian motosikal pada tahun ini
berbanding 413 kes pada 2010,” katanya.
Md
Zukir turut menggesa orang awam meningkatkan kerjasama dengan polis
dengan menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti
mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan susulan.
