Curi Motor Geng Mat Tong Tehel Tumpas
JASIN,
26 Feb - Polis berjaya menumpaskan geng 'Mat Tong Tehel' yang aktif
melakukan jenayah curi motosikal di sekitar Melaka sejak 2010 dengan
tertangkapnya 12 anggota kumpulan itu.
Ketua
Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata tangkapan
pertama melibatkan seorang pemandu lori yang juga ketua kumpulan itu
dikenali sebagai Mat Tong Tehel berusia 21 tahun di rumahnya di Tanjung Labuh Tehel pada 10.40 pagi, 17 Feb lepas.
Beliau
berkata susulan tangkapan itu, polis berjaya mengesan dan menahan 11
lagi anggota kumpulan yang merupakan pekerja kilang, buruh dan seorang
pelajar politeknik di Negeri Sembilan berusia antara 19 hingga 35 tahun
dalam tempoh seminggu.
"Hasil
siasatan terperinci polis berjaya menemui semula 17 rangka motosikal
yang telah dileraikan dalam beberapa sungai di sekitar Jasin selain
sebuah motosikal yang belum dileraikan di rumah ketua kumpulan
terbabit," ujar beliau.
Katanya
semakan nombor casis dan enjin mendapati 17 rangka motosikal yang
dijumpai telah dilaporkan hilang di daerah Melaka Tengah manakala sebuah
di Jasin.
Muhd
Nur Hishamuddin berkata kumpulan itu dipercayai menjual komponen
motosikal curi yang telah dileraikan selain turut menjual motosikal
sekiranya terdapat permintaan.
Beliau
berkata kumpulan itu dikenal pasti bergerak dalam beberapa unit kecil
termasuk yang bertindak sebagai pemerhati dan mencari motosikal yang
hendak dicuri sementara anggota lain melakukan jenayah curi motosikal
itu.
Kumpulan tersebut katanya menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi dan terpencil.
Katanya
polis tidak menolak kemungkinan menemui lebih banyak motosikal dan
komponen motosikal curi hasil kegiatan jenayah kumpulan terbabit. -
BERNAMA