Cubaan Tiga Penjenayah Larikan Mesin Atm Di Kemaman Gagal
Kuala
Terengganu, 7 Okt - Tiga penjenayah berputih mata apabila cubaan mereka
untuk melarikan mesin juruwang automatik (ATM) dari sebuah bank di
Chukai, Kemaman awal pagi tadi gagal.
Kejadian
kira-kira pukul 4.19 pagi itu disedari oleh seorang pengawal
keselamatan sebuah pasar raya berdekatan setelah beliau terdengar bunyi
alat penggera keselamatan dari bank berkenaan.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata sebaik
mendengar bunyi berkenaan, pengawal keselamatan yang berusia 26 tahun
itu bergegas ke arah bank dan melihat beberapa individu melarikan diri.
Beliau
berkata suspek melarikan diri dengan sebuah Perodua Myvi yang memecut
ke arah Kuala Terengganu sebelum pengawal itu menghubungi polis.
"Penjenayah dipercayai telah mengikat mesin ATM itu dengan tali dan menariknya dengan kereta.
"Mesin
berkenaan terletak bertentangan dengan pintu masuk bank dan dipercayai
ketika menarik mesin itu, penjenayah terkejut dengan alat penggera yang
berbunyi dan ini mematahkan cubaan mereka untuk melarikan mesin itu,"
kata Manoharan kepada pemberita di sini hari ini.
Mereka
menarik mesin itu kira-kira satu meter dari tempatnya. Manoharan
berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati seorang
suspek berada di dalam bank manakala dua lagi yang bertopeng dan
bersarung tangan menunggu di luar.
Beliau
berkata gerakan memburu ketiga-tiga suspek sedang dijalankan dan
meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu
siasatan.
Sumber : BERNAMA