Cubaan Seludup 27 Ekor Tenggiling Dipatahkan
Taiping, 7 Ogos – Cubaan seludup masuk sebanyak 27 ekor tenggiling bernilai RM35,000 berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau, awal pagi semalam.
Komander PPM Wilayah Satu ACP Mohd Yusof Abdullah berkata semasa menjalankan Op Landai di kawasan pendaratan bakau di Teluk Kertang, pasukannya telah terserempak dengan sebuah sampan dalam keadaan yang mencurigakan.
"Apabila kami cuba menghampiri sampan yang dinaiki dua lelaki untuk melakukan pemeriksaan, mereka bertindak melarikan diri ke arah sungai yang berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut di tebing sungai berhampiran telah menjumpai 27 karung guni plastik berisi tenggiling yang ditinggalkan,” katanya lagi.
Kesemua haiwan tersebut dibawa ke pangkalan PPM Kuala Kurau untuk disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.