Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Cubaan Rompak Kedai Emas Guna Serbuk Cili Gagal

Diterbitkan: 01 Feb 2016 3.38 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Petaling Jaya, 1 Feb - Dua perompak bersenjatakan tukul besi yang bertindak melemparkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas dalam satu cubaan merompak kedai itu, terpaksa berputih mata.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/cubaan-rompak-kedai-emas-guna-serbuk-cili-gagal
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:46 MYT


Petaling Jaya, 1 Feb - Dua perompak bersenjatakan tukul besi yang bertindak melemparkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas dalam satu cubaan merompak kedai itu, terpaksa berputih mata.

Cubaan merompak itu gagal apabila mereka bertindak melarikan diri selepas seorang daripada pekerja kedai itu menekan penggera keselamatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian 3.15 petang tadi, kedai emas di Jalan 9A/13 Sungai Way, dimasuki dua perompak terbabit.

"Suspek dipercayai seorang lelaki dan seorang wanita memakai topi keledar bertutup penuh meluru masuk kedai berkenaan, sebelum seorang daripadanya menabur serbuk cili ke dalam kedai," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat empat pelanggan serta empat pekerja di dalam kedai emas berkenaan.

"Suspek wanita mencampakkan serbuk cili ke arah rak pameran kaca yang menyasarkan pekerja kedai itu, namun tidak mengenai mereka kerana ada penghadang kaca manakala suspek lelaki cuba memecahkan kaca rak pameran barang kemas dengan tukul besi beberapa kali, namun gagal.

"Ketika itu, seorang pekerja kedai berkenaan bertindak menekan alat penggera keselamatan, sejurus penggera berbunyi, suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya.

Beliau berkata tiada barang kemas yang berjaya dilarikan serta tiada pekerja atau pelanggan yang cedera dalam kejadian berkenaan.

"Buat masa ini, kami sedang menyiasat sama ada kes ini ada kaitan dengan satu kejadian rompak kedai emas di Seremban beberapa hari lalu yang menggunakan modus operandi lebih kurang sama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak, katanya.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 01 Feb 2016 3.38 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM