
Artikel
Cp Dato Mohd Hishamudin Tahar Dilantik Sebagai Ketua Urus Setia Kpn Penyelidikan Dan Pembangunan Baharu
Kuala Lumpur, 11 November 2022 – CP Dato’ Mohd Hishamudin Tahar dilantik sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan) yang...
Kuala Lumpur, 11 November 2022 – CP Dato’ Mohd Hishamudin Tahar dilantik sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan) yang baharu bagi menggantikan CP Dato’ Mohamad Mat Yusop yang akan bersara wajib pada 13 November ini.
Dato’ Mohd Hishamudin sebelum ini merupakan Komander Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, petang tadi dengan dihadiri oleh KPN, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani sekali gus menjadi saksi serah terima tugas tersebut.
Terdahulu, Dato’ Mohd Hishamudin disematkan pangkat Komisioner Polis (CP) oleh Tan Sri Acryl Sani di hadapan para tetamu.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Acryl Sani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CP Dato’ Mohamad atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada Pasukan selama ini.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada CP Dato’ Mohd Hishamudin dengan pelantikan baharu beliau itu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP N Murtadza Mahmud, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin, barisan Ketua Urus Setia KPN dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang.









