
Covid 19 Keratan Akhbar Pilihan Sempadan Tidak Bolos
Kuala Lumpur, 14 April 2020 - Kawalan di sempadan negara termasuk di lorong tikus dipertingkatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga tiada insiden pencerobohan pendatang asing tanpa izin dikesan setakat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempadan negara sentiasa dikawal ketat pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Ismail Sabri berkata, ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai kawalan kita di sempadan terutama di 'jalan tikus', namun beliau memberi jaminan bahawa ia sentiasa dikawal anggota penguatkuasa bertugas.
"Kita dapat laporan daripada PDRM, ATM dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia bahawa pintu sempadan negara sentiasa dikawal terutama jalan-jalan tikus yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin.
"Seperti kita tahu, sempadan kita sudah ditutup daripada kemasukan semua warga asing dan ‘jalan tikus’ juga sentiasa dipantau untuk memastikan tiada warga asing menyeludup masuk.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana warga asing yang masuk melalui 'jalan tikus' ini," katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, semalam.
Ismail Sabri berkata, selain di darat, sempadan perairan negara juga turut dikawal ketat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Ma-ritim Malaysia (APMM) bagi menghalang pencerobohan termasuk oleh bot nelayan asing.
"Tindakan yang tegas akan diambil bagi menghalang kemasukan dan tindakan mengusir mereka keluar daripada perairan kita akan dilakukan," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti berikut.