Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Covid 19 Artikel Pilihan Salur Maklumat Peserta Program Tabligh Di Sri Petaling

Published: 14 Mar 2020 5.04 AM Updated: 17 Jul 2026 3.32 AM
Kuala Lumpur, 14 Mac 2020 - Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jemaah masjid yang menghadiri program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, pada 28 Februari lalu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/covid-19-artikel-pilihan-salur-maklumat-peserta-program-tabligh-di-sri-petaling
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 21:08 MYT

Kuala Lumpur, 14 Mac 2020 - Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jemaah masjid yang menghadiri program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini, pada 28 Februari lalu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (KDNKA), CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, berkata ketika ini hanya kira-kira 1,500 peserta yang berdaftar dengan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Orang ramai yang mengetahui ahli keluarga, jiran-jiran atau rakan-rakan yang menghadiri program tabligh itu diminta tampil memberikan maklumat.

“Sehingga kini KKM tidak ada menghubungi pihak polis untuk membantu mengesan peserta jemaah tabligh yang terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya hanya boleh menasihatkan jemaah yang hadir pada program tabligh itu untuk hadir secara sukarela bagi menjalani pemeriksaan COVID-19.

Acryl Sani berkata ketika perhimpunan jemaah tabligh itu berlangsung, pihaknya telah menugaskan 61 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Cheras bertugas di sana.

“Ketua Polis Daerah Brickfields telah mengenal pasti kesemua 61 pegawai dan anggota yang terbabit dan akan menjalani saringan kesihatan dengan KKM,” katanya.

Beliau berkata ketika ini sebahagian peserta tabligh telah tampil untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19.

Pada 12 Mac lalu Bernama melaporkan masjid berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Februari lalu disahkan positif COVID-19.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian Online

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/665235/salur-maklumat-peserta-program-tabligh-di-sri-petaling?fbclid=IwAR3btl3XMGiImSuofYmVGfUiF1Gt4Hq0LKfUJPuTQAFxHMJbaUck9enMozg 
ArticlePublished 14 Mar 2020 5.04 AMUpdated 17 Jul 2026 3.32 AM