Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa bukti kenderaan Perodua Myvi dipandu dengan laju sehingga meragut tiga nyawa dalam kemalangan di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) kelmarin tersebar di laman sosial.
Video berdurasi 29 saat itu memaparkan sekumpulan pemandu kenderaan Perodua Myvi sedang memandu dalam keadaan laju. Bagaimanapun, pihak pengurusan DUKE enggan mengulas lanjut mengenai rakaman tersebut memandangkan kes berkenaan sedang dalam siasatan polis.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Mohd. Nadzri Hussain berkata, pihaknya dalam proses meneliti rakaman CCTV yang didakwa dikeluarkan oleh pihak pengusaha lebuh raya tersebut bagi memastikan kesahihannya.
"Siasatan terhadap kes kemalangan tersebut masih dijalankan dan kami akan kesan baki pemandu kumpulan Myvi yang terlibat sekiranya paparan video tersebut adalah benar," katanya.
Sumber : Kosmo