Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Cabar Berlumba Sebelum Dicekup

Published: 16 Jun 2014 8.42 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, berjaya menahan lebih 10 remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun dalam operasi di Jalan Kilang Lama, Kulim kira-kira jam 3 pagi kelmarin. S..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/cabar-berlumba-sebelum-dicekup
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 22:27 MYT

KULIM - Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, berjaya menahan lebih 10 remaja dalam operasi di Jalan Kilang Lama, kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Difahamkan, kesemua remaja lelaki Melayu yang ditahan berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Semasa operasi berkenaan, polis terpaksa memakai pakaian preman dan menunggang motosikal di hadapan kumpulan berkenaan bagi menarik perhatian mereka.

Mungkin menyangka kumpulan mat rempit lain mengajak berlumba, beberapa remaja yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dilihat cuba mengejar anggota polis berpakaian preman terbabit, sebelum mereka sendiri ditahan.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati kesemua remaja terlibat tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan motosikal sudah tamat tempoh, selain kenderaan digunakan diubah suai bertujuan untuk memecut.

Polis turut telah mengenal pasti beberapa lokasi sering digunakan oleh golongan remaja untuk menunggang motosikal mereka dengan laju dan berlumba.

Kesemua penunggang motosikal itu kemudiannya diarahkan menolak kenderaan mereka ke Balai Polis Trafik untuk tindakan lanjut.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayub berkata, rata-rata motosikal terlibat tidak mempunyai cermin sisi dan menggunakan ekzos yang bising.

“Daripada maklumat diterima, kebanyakan remaja ditahan tinggal di Serdang dan motosikal digunakan dimiliki oleh ahli keluarga mereka.

“Selain itu, ada kalangan mereka tidak membawa kad pengenalan. Ini merupakan kesalahan serius dan ibu bapa seharusnya memberikan perhatian,” katanya selepas operasi cegah jenayah untuk mengenal pasti motosikal curi, pagi kelmarin.

Dalam pada itu, Ismail turut mengingatkan, sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan maut, penunggang motosikal mempunyai kesalahan berkenaan tidak akan dilindungi insurans.

Katanya selain itu, polis boleh mengambil tindakan menyaman pemilik motosikal kerana membenarkan kenderaan mereka dibawa oleh penunggang yang tidak mempunyai lesen.

“Golongan remaja merupakan antara penunggang motosikal sering terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kecederaan parah dan maut,” katanya.

Cabar Berlumba Sebelum Dicekup

ArticlePublished 16 Jun 2014 8.42 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM