Buruh Bangladesh Ditemui Mati Pada Pokok
Dungun, 28 Mei - Seorang buruh warga Bangladesh ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat pada pokok di sebuah tapak projek perumahan di Rantau Abang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata mayat lelaki yang berusia 50-an itu ditemui oleh pengawal keselamatan projek perumahan tersebut di lereng bukit kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Beliau berkata penemuan mayat itu adalah hasil pengakuan dua orang buruh Bangladesh dan seorang buruh Myanmar.
Katanya kejadian itu dipercayai berpunca dari salah faham antara mangsa dan ketiga-tiga suspek pada petang sebelum kejadian.
"Pada sebelah malamnya, ketiga-tiga suspek bertindak mengikat dan menutup mulut mangsa sebelum menolaknya ke dalam curam. Mereka kemudian turun ke dalam cerun untuk mengikat mangsa pada pokok," katanya.
Ahmad Zailani berkata kesemua suspek kemudiannya melarikan diri sebelum mereka ditahan di hadapan Masjid Rantau Abang oleh pengawal keselamatan projek perumahan itu yang bertindak memujuk mereka untuk kembali semula ke tapak pembinaan untuk berbincang.
Mereka kemudiannya diserahkan kepada polis.
- BERNAMA