Belanda Hargai Pdrm Berkas Suspek Kes Bunuh
Kuala Lumpur 9 Disember 2009- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan Belanda apabila berjaya menahan seorang lelaki yang sangat dikehendaki di negara itu sejak tahun 1995.
Kemahiran risikan dankecekapan PDRM hanya mengambil masa hanya sebulan untuk mengesan lelaki itu, membuahkan hasil apabila lelaki tersebut berjaya dikesan dan akhirnya ditangkap.
"Kerajaan Belanda amat berterima kasih kepada PDRM di atas penangkapan lelaki tersebut dan berharap kerjasama antara PDRM dan Polis Belanda terus terjalin", ujar Mr. P.P.J. Bekkers, Duta Besar Belanda ke Malaysia ketika berucap di majlis penyampaian sijil penghargaan yang berlangsung di Tamarind Springs, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor.
Sijil Penghargaan dari kerajaan Belanda itu diterima oleh YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.
Lelaki warga China yang dikenali sebagi Chang, berumur 54 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Belanda bersabit satu kes bunuh sepasang kekasih yang dilakukannya pada September 1995. Sejurus Mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara setahun kemudian, suspek bagaimanapun menghilangkan diri dan gagal dikesan pihak berkuasa.
Menurut Datuk Seri Mohd Bakri, dari risikan Jabatan Imigresen Belanda, lelaki tersebut dipercayai memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport palsu dan berada di negara ini selama 13 tahun. Hasil maklumat diterima dari Kerajaan Belanda dan Interpool (Polis Antarabangsa) pada bulan Oktober dan suspek berjaya ditangkap pada 16 November lalu.
"Hasil usaha PDRM menjejaki suspek termasuk membuat lakaran wajah, mengesan pasport yang digunakan serta cap jarinya, kami berjaya menahan suspek di suatu kawasan di Cheras", kata Datuk Seri Mohd Bakri yang bangga dengan kerjasama yang terjalin di antara PDRM dan Polis Belanda telah membuahkan hasil dengan jayanya.
Turut hadir majlis yang bersejarah itu ialah Dato' Pahlawan Hadi Ho Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) PDRM. Seramai tujuh orang Pegawai Kanan PDRM menerima Sijil Penghargaan dari Kerajaan Belanda termasuk YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara.
kiri...YDH SAC I Dato' Pahlawan Hadi Ho Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) dan YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bersama menerima Sijil Penghargaan dari Mr. P.P.J. Bekkers, Duta Besar Belanda ke Malaysia
Antara Pegawai-pegawai Kanan PDRM yang turut sama menerima Sijil Penghargaan.