Bekas Banduan Dicekup Terlibat Kes Pecah Rumah
Melaka, 31 Julai - Seorang bekas banduan yang dibebaskan kira-kira
sembilan bulan lepas dicekup polis bersama pelbagai barangan serta wang
tunai dalam bentuk gubahan hantaran perkahwinan berjumlah RM500
dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan polis di
tepi jalan berhampiran rumahnya di Malim di sini, Isnin lepas kira-kira
dua jam setengah selepas dipercayai memecah masuk rumah seorang
jurutera di Tengkera di sini.
Beliau
berkata sebelum itu, suspek juga dipercayai memecah masuk rumah mangsa
berusia 30-an pada 10 pagi dan melarikan pelbagai barangan berharga
termasuk telefon bimbit, jam tangan dan kamera bernilai kira-kira
RM5,000.
Katanya
hasil tangkapan itu, polis kemudian menemui pelbagai barangan yang
dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk enam telefon bimbit, tiga
jam mewah, dua komputer riba dan dua radio selain gubahan wang tunai
itu yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000.
"Polis
percaya dengan tangkapan ini, kita telah berjaya menyelesaikan
sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar daerah Melaka Tengah,"
katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya
suspek yang dibebaskan pada Oktober tahun lepas setelah
menjalanihukuman penjara selama satu setengah tahun atas kesalahan pecah
rumah itu turut dikehendaki IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung kes
penipuan.
Bekas banduan itu ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan, katanya.
Sumber : BERNAMA