Bekas Banduan Diberkas Bersama Dadah Pistol
Baru setahun lebih dibebaskan dari penjara kerana kesalahan mengedar dadah, seorang penghantar surat sebuah syarikat pencetak ditahan semula atas kesalahan sama dalam serbuan di rumahnya di Batu Caves, Kuala Lumpur.
Selain sejumlah dadah bernilai RM123,560, turut dirampas daripada suspek yang berusia 38 tahun itu ialah sepucuk pistol jenis Browning diisi 12 butir peluru.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis menemukan 23 ketulan mampat ganja, 3,000 biji pil ekstasi dan 10 gram ketamin.
"Sebanyak 40 butir peluru lagi kita temukan disorokkan suspek di dalam sebuah almari.
"Kita percaya suspek aktif mengedar dadah selepas keluar dari penjara pada bulan Disember 2013. Semakan juga mendapati suspek baru dibebaskan selepas menjalani hukuman 10 kali sebatan bersabit kes dadah di Sentul," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia