Bayi Mangsa Culik Di Pulau Pinang Selamat
George
Town, 13 Dis - Polis menyelamat seorang bayi perempuan berusia tujuh
bulan yang dilaporkan hilang dan diculik dari rumah neneknya di Air Itam
di sini semalam setelah menahan seorang warga emas yang dipercayai
'membeli' bayi itu.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata
bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki berumur 60 tahun itu di
Balik Pulau tengah hari tadi.
Katanya
bayi berkenaan telah dilapor diculik oleh dua wanita kira-kira 3 petang
semalam setelah mereka mengunjungi rumah nenek bayi itu di Air Itam
dengan alasan hendak membawa bayi itu bermain.
"Nenek
itu membenarkan mereka membawa bayi itu kerana beliau mengenali salah
seorang wanita berumur 43 tahun terbabit tetapi nenek itu mula
mengesyaki sesuatu apabila kedua-dua wanita itu tidak muncul selepas 30
minit berlalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata nenek itu kemudiannya cuba menghubungi suspek tetapi tidak
mendapat jawapan dan beliau kemudiannya membuat laporan polis pada pukul
7 malam.
Mazlan
berkata nenek bayi itu mengenali wanita berusia 43 tahun itu kerana
mereka pernah bekerja bersama sebagai pengawal keselamatan.
Polis
kemudiannya membuat siasatan di kawasan rumah wanita terbabit di
Tanjong Tokong dan mendapat maklumat bahawa bayi perempuan itu telah
dijual.
"Kita
dah tangkap pembeli ini di Balik Pulau untuk membantu pihak polis dan
siasatan awal mendapati bayi ini dijual dengan harga RM3,000," katanya.
Beliau
berkata polis sedang mengesan suspek yang masih bebas yang dikenali
sebagai Zuzita Ahmad yang beralamat terakhir di No 214-B, Jalan Tanjong
Tokong.
Katanya
suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan
mencuri dan polis percaya dia sedang berada di luar Pulau Pinang.
"Polis
juga sedang mengesan seorang perempuan Cina yang bersama suspek pada
hari kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek
diminta supaya menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan,"
katanya.
Beliau
berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan
Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dipenjara
tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta didenda.
Dalam
perkembangan lain, Mazlan berkata polis berjaya menangkap tiga lelaki
dipercayai 'pengangkut' bagi sindiket yang membawa masuk 38 warga
Myanmar dan Bangladesh di Seberang Perai Utara minggu lepas.
"Kita
dah tangkap 13 ahli sindiket. Sindiket ini didalangi oleh rakyat asing.
Dua daripadanya sudah didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Anti
Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.
Beliau
berkata polis percaya sindiket itu adalah sindiket penyeludupan warga
asing terbesar di utara dan suspek utama sudah dikenal pasti dan gerakan
mengesan suspek dipercayai seorang lelaki warga Myanmar sedang
diteruskan.
Pada
1 Dis lepas, polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 38 lelaki warga
Myanmar dan Bangladesh yang berada dalam keadaan lemah dipercayai kerana
tidak diberikan makanan oleh sindiket yang membawa masuk warga asing,
di sebuah rumah di Bagan Jermal, Butterworth.
Sumber : BERNAMA