Barangan Bersubsidi Dirampas Cuba Diseludup Ke Negara Jiran
TAWAU,
4 April 2012 (Bernama) --- Barangan bersubsidi merupakan antara
barangan bernilai RM33,357 yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM)
Tawau dari sebuah bot di kawasan pantai Batu Batu, Sabindo petang
semalam.
Pemangku
Pegawai Pemerintah PPM Tawau, ASP Mohamad Ismail berkata Rabu, barangan
bersubsidi seperti gula pasir seberat 624kg, petrol (675 liter), Beras
Nasional (290kg), Beras Bumi Sabah (290kg), minyak masak (207kg) dan gas
memasak (9 tong) dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
"Bertindak
atas maklumat orang awam, anggota kami memeriksa sebuah jongkong di
kawasan pantai Batu Batu dan menemui barangan berkenaan. Juragan
jongkong berusia 24 tahun iaitu seorang warganegara Indonesia dan
jongkongnya kemudiannya ditahan selepas dia gagal menunjukan dokumen
berkaitan barangan itu," katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam.
Pada
29 dan 30 Mac lalu, PPM Tawau juga menggagalkan cubaan menyeludup
keluar gula pasir sebanyak 2,760kg, gas memasak (68 tong), daging beku
(600kg), baja sebatian (400kg), lada kering (350kg), lobak merah (31
kotak) dan sayap ayam (2 kotak).