Bakti Sumbang Bungkusan Raya Kepada Pdrm Atm Dan Apmm
Kuala Lumpur- 18 September 2007. Badan Amal Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menyerahkan bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Majlis itu diadakan di Bangunan BAKTI Siti Hasmah Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Bungkusan tersebut diserahkan sendiri oleh Datin Seri Jeanne Abdullah, Yang DiPertua BAKTI kepada Inspektor Jeneral Tan Sri Musa binDato' Hj. Hassan, Ketua Polis Negara, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Hj. Zainal, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Laksamana Maritim Dato' Mohammad Nik, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
"Semoga melalui bungkusan ini akan dapat mengembirakan hati para anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada musim perayaan. Di samping itu ianya juga sebagai tanda ingatan dan penghargaan daripada BAKTI", kata Datin Seri Jeanne Abdullah ketika berucap pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Naib Yang DiPertua BAKTI.
Tahun ini BAKTI menyediakan 31,050 kotak berisi rendang daging, sambal ikan bilis, kuah sate dan nasi himpit. BAKTI telah membelanjakan sebanyak RM 270,000 bagi menyediakan bungkusan tersebut untuk diagih-agihkan pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di dalam dan luar negara pada musim perayaan ini.

Bungkusan-bungkusan Hari Raya Aidil Fitri yang diagihkan kepada Polis Diraja Malaysia, 3 cabang Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, disampaikan oleh Badan Amal Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)