Atm Pdrm Tambah Aset Pertahanan Di Esszone
Kuala
Lumpur, 2 Julai - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) akan menambah aset pertahanan di Zon Selamat Timur Sabah
(Esszone) yang diletak di bawah pengawasan Kawasan Keselamatan Khas
Pantai Timur Sabah (Esscom).
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata antara penambahan itu ialah menyediakan kenderaan pengangkut anggota berperisai (APC) untuk pasukan tentera darat dan PDRM.
"Kami akan turut menambah aset udara seperti helikopter dan perkara lain," katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar selepas majlis syarahan bertajuk 'Kerjasama Antara ATM
dan PDRM Ketika Ops Daulat: Satu Usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan'
anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini
hari ini.
Beliau
berkata PDRM juga akan menyediakan aset bot bagi mengawal perairan
cetek di sekitar Sabah dalam menangani masalah jenayah dan penyeludupan.
"Kita
lihat menerusi pelaksanaan Esscom, tahap keselamatan di Sabah kini jauh
lebih baik berbanding semasa pencerobohan pengganas di Lahad Datu,"
katanya.
Zulkifeli
berkata kerjasama antara ATM dan PDRM ketika Ops Daulat di Sabah adalah
melalui pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang banyak
mempertingkat hubungan kedua-dua agensi.
"Saya boleh katakan kini kita dapat saling memahami budaya kerja yang berbeza serta melaksanakan operasi bersama," katanya.
Sementara
itu, Khalid berkata pihaknya kini memberi tumpuan terhadap pembinaan
lima balai polis baharu dan menambah baik tiga balai sedia ada di
kawasan Esszone.
Beliau
turut mengalu-alukan kehadiran orang awam ke Kampung Tanduo di Lahad
Datu, yang merupakan lokasi utama serangan pengganas .
"Kini keadaan keselamatan jauh bertambah baik dan saya difahamkan jumlah pelancong yang datang juga telah bertambah," katanya.
Sumber : BERNAMA