
Artikel
Artikel Pilihan Operasi Bersepadu Khazanah Lebih 1 400 Jerat Dirampas Sepanjang Tiga Tahun Lalu
Sumber: Polis Johor dan Berita Harian Online
Kota Tinggi, 19 Mac 2022 - Sebanyak 1,435 jerat hidupan liar dikesan dan dimusnahkan hasil 39 siri rondaan sepanjang tiga tahun Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilancarkan di seluruh Semenanjung sejak 2019.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jerat dimusnahkan itu diperbuat daripada dawai dan kabel.
Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka yang membabitkan 356 pesalah jenayah yang terdiri daripada 257 warga tempatan dan 99 warga asing.
"Sebanyak 1,435 jerat kabel dan dawai dimusnahkan membabitkan nilai sitaan RM36.45 juta. Tahun ini, dua siri operasi sudah dijalankan, di mana kita buka 11 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dan jumlah rampasan RM54,000. Dalam tempoh itu terdapat 19 jerat hidupan liar dimusnahkan di lapangan.
"Kita juga ada mengesan 14 khemah warga asing, empat penebangan pokok dan ada 158 kesan pemburuan haram berjaya direkodkan membabitkan 19 pesalah ditahan termasuk termasuk seorang warga Indonesia," katanya selepas menghadiri mesyuarat OBK ke-10 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Dato' Abdullah Jaapar.
Bacaan lanjut di pautan seperti berikut, https://www.bharian.com.my/.../lebih-1400-jerat-dirampas...