
Article
Artikel Pilihan Mangsa Banjir Diingatkan Waspada Terjerat Helah Ah Long Pengarah Jsj
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini memang tiada dikesan sindiket pinjaman wang mendekati mangsa banjir...
Kuala Lumpur, 2 Januari 2022 - Meskipun masih tiada lagi kes mangsa banjir didatangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long, polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini memang tiada dikesan sindiket pinjaman wang mendekati mangsa banjir.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada, malah polis juga akan berada di lapangan untuk menemu bual setiap penduduk bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.
Untuk itu juga, katanya, polis sudah menubuhkan pasukan cantas khas banjir di bawah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) bagi menangani masalah itu.
"Pasukan ini akan memantau kegiatan kumpulan along yang menawarkan pinjaman kepada mangsa banjir.
"Saya sudah minta anggota cantas khas ini turun padang bertemu penduduk dan bertanya sama ada betul atau tidak sindiket turun menawarkan pinjaman, tetapi maklumat yang diterima setakat ini memang tak ada," katanya ketika ditemui Harian Metro.
Sumber: Harian Metro