
Article
Artikel Pilihan Lebih 11 000 Kekosongan Perjawatan Dalam Pdrm Pengarah Pengurusan
Melaka, 18 Mac 2022 - Sebanyak 11,111 kekosongan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan sehingga 31 Januari lepas, kata Pengarah Pengurusan,...
Melaka, 18 Mac 2022 - Sebanyak 11,111 kekosongan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan sehingga 31 Januari lepas, kata Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Zaini Jass.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 651 kekosongan perjawatan melibatkan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis (9,005 perjawatan) dan pegawai awam (1,455 perjawatan).
"Secara keseluruhan sehingga 31 Januari lepas, PDRM mempunyai 137,628 perjawatan merangkumi pegawai kanan polis, pegawai rendah polis serta pegawai awam dan kekosongan yang berlaku disebabkan kesukaran untuk melaksanakan latihan atau kursus bagi mengisi perjawatan yang ada, ekoran penularan COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.
"Pada tahun ini kami sedang dan akan melatih sebanyak 5,000 individu bagi mengisi kekosongan jawatan pegawai rendah polis dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan dan baki kekosongan yang ada dijangka dapat diisi menjelang akhir tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Melaka di sini, hari ini.