Artikel Pilihan Istiadat Pertabalan Agong Ke 17 14 Laluan Yang Ditutup Dibuka Secara Berperingkat
Kuala Lumpur, 20 Julai 2024 - Sebanyak 14 laluan sekitar ibu kota yang digunakan untuk Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim pada Sabtu akan ditutup dan dibuka semula secara berperingkat.
Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri berkata, kesemua laluan tersebut ditutup bermula jam 8 pagi tadi bagi melancarkan perjalanan kenderaan kerabat diraja serta orang kenamaan yang menghadiri istiadat pertabalan berkenaan.
Menurut beliau, penutupan secara berperingkat itu dilakukan semasa pergerakan kenderaan khas ke Istana Negara, namun akan dibuka semula seperti biasa apabila majlis selesai.
"Semua 14 laluan berkenaan ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi ini sehingga selesai ketibaan semua orang kenamaan ke Istana Negara.
"Polis akan buka semula jalan di ibu kota bagi melancarkan aliran trafik dan apabila majlis istiadat pertabalan akan tamat nanti," katanya pada sidang media di perkarangan Istana Negara pada Sabtu.
Kata beliau, 14 laluan berkenaan juga akan ditutup dan dibuka semula secara berperingkat bermula jam 8 malam ini (Sabtu) untuk Majlis Santapan Diraja yang akan turut berlangsung di Istana Negara.
"Kita harap orang ramai memberi kerjasama untuk memastikan kelancaran istiadat pertabalan hari ini.
"Kita lihat upacara hari ini sebagai peristiwa bersejarah kerana ia hanya dapat diadakan dan disaksikan lima tahun sekali," ujarnya.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.sinarharian.com.my/.../istiadat-pertabalan...
Sumber: Sinar Harian