Article
Artikel Pilihan Hari Malaysia 2026 Tragedi Bukit Jenalik Peringatan Berharga Sebuah Keamanan
Ipoh, 17 September 2026 - Keamanan dan kedaulatan dinikmati Malaysia hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan tidak ternilai perajurit negara yang sent...
Ipoh, 17 September 2026 - Keamanan dan kedaulatan dinikmati Malaysia hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan tidak ternilai perajurit negara yang sentiasa berdiri teguh mempertahankan tanah air.
Mengimbau tragedi Bukit Jenalik di Kuala Kangsar pada 2 Julai 2000, bekas anggota Pasukan 69 Komando, Sarjan Mejar Zol'aini Sabar, 68 tahun, berkata mempertahankan kedaulatan negara juga menuntut seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan menghargai erti pengorbanan dan keamanan.
Insiden hitam berkenaan menyaksikan kumpulan pengganas Al-Maunah yang melarikan sejumlah senjata api dan peluru dari Kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik sebelum berkubu di Bukit Jenalik dengan niat menggulingkan kerajaan, sekali gus mencetuskan operasi khas dinamakan Op Subuh.
Sarjan Mejar Zol'aini, antara 20 anggota Pasukan Komando 69 digerakkan dalam operasi khas itu berkata insiden berkenaan menjadi peringatan jelas betapa ancaman terhadap keselamatan negara boleh muncul dari dalam sekiranya patriotisme dan penyatuan rakyat rapuh.
"Rakyat hari ini mungkin tidak dapat membayangkan detik cemas pernah kita lalui. Sebab itu, bersempena Hari Malaysia, jangan sekali-kali kita mengambil mudah keamanan yang ada. Hargailah tanah air ini dan jangan lakukan perkara yang boleh menggugat keselamatan serta keharmonian yang kita nikmati bersama," katanya.